Pages

Thursday, May 6, 2010

terjemahan kitab ilhamunnafi'


Berkata Sayyid Soleh al-Ja'afari al-Husaini R.A di dalam salah sebuah wirid(1) beliau yang menyebut mengenai al-Quranul Karim dan kelebihannya:-

"Wahai tuhan yang melihat titisan air mata para pencinta kerana rindu kepada-Nya sedangkan mereka tidak melihat-Nya.Yang melihat kelembutan cinta mereka kepada-Nya bertapak di hati mereka lantas berdoa kepada-Nya.Lalu (dengan sebab itu)Dia menjadikan kemesraan buat mereka melalui pemahaman firman-Nya yang indah, berupa untaian hikmah-hikmah dan hukum-hakam-Nya yang tersusun rapi sehingga membuatkan mereka bertumpu terhadap al-Quran. Lantas muncullah keajaiban-keajaiban ayat-ayatnya yang indah membuatkan mereka menangis, gembira dan sedar. Kadangkala mereka kagum terhadap keindahan bahasa dan huraiannya. Kadangkala mereka menangis kerana takut kepada kedahsyatan ancamannya yang ditujukan oleh Allah S.W.T buat musuh-musuh-Nya.Kadangkala mereka merasa gembira dengan janji agungnya yang diberikan kepada para kekasih-Nya. Kadangkala mereka mendapat peringatan bila mendengar alunan ayat-ayatnya sehinnga terlihat jelas permata-permata makna (ayat-ayat al-quran) disebabkan bersihnya hati-hati mereka. Mereka merasa damai (di dunia ini) sebelum mengecapi kedamaian di dalam kubur. Mereka merasa gembira dengan ganjaran pahala yang begitu besar.

Al-Quran adalah teman mereka.Selepas mati, ia adalah kemesraan mereka. Al-Quran adalah teman yang tidak menjemukan di dunia ini. Selepas mati,ia adalah kemesraan yang paling agung.Jika tersingkap tabir daripada(mata hati) kita sehingga kita mampu melihat suasana ahli al-Quran di dalam pusara mereka, pasti akal kita bingung memikirkan keindahan kilauan(cahaya) mimbar mereka.Mereka telah menyinari kegelapan (malam) dengan membacanya(al-Quran), lalu Allah S.W.T menyinari (kegelapan) kubur mereka.Mereka pernah membuatkan hati-hati para mukminin merasa lapang dengannya(al-Quran), lalu Allah S.W.T pun melapangkan hati-hati mereka..

Orang yang membaca al-Quran berada di dalam hadirat kemesraan dan keamanan.
Orang yang membaca al-Quran mendapat rahmat dan keampunan.
Orang yang membaca al-Quran terpelihara dari gangguan jin dan insan.
Orang yang membaca al-Quran dijanjikan dengan syafa'at al-Quran.
Orang yang membaca al-Quran mendapat makrifah dan pengetahuan.
Orang yang membaca al-Quran menyinari tempat dan zaman.
Orang yang membaca al-Quran hidup dan mati dalam iman.
Orang yang membaca al-Quran, musuhnya di dunia mendapat penghinaan.
Orang yang membaca al-Quran mendapat dua, rezeki dan keberkatan.
Orang yang membaca al-Quran, jenazahnya diiringi surah-surah al-Quran.
Orang yang membaca al-Quran apabila ditanam, kuburnya disinari(cahaya) al-Quran."

Diterjemahkan sempena pembacaan tajuk "تلاوة القرءان تفتح لك الأبواب" (Pembacaan al-Quran membuka pintu-pintu) halaman 122 daripada kitab al-Ilhamun Nafi'

-Doakan khas untuk Syeikh Asyraf yang telah bertolak ke tanah suci Mekah untuk menunaikan umrah di tanah suci Mekah pada hari Isnin (semalam) bersamaan 26 Jamadil Awwal 1431/10 Mei 2010..
-Juga untuk Habib Sayyid 'Umar yang ke Yaman dan kemudian ke Madinah..
-Moga dipermudahkan urusan mereka..amin..

No comments:

Post a Comment